Saturday, 20 April 2013

Persediaan Sebelum Matahari Terbit Dari Barat!

Adakah anda percaya kepada hari kemusnahan tamadun manusia secara total?
 
 
Gambaran kemusnahan besar-besaran kepada dunia

Hari kiamat yang disebut sebagai Doomsday tidak dapat disangkal lagi. Hal yang dipercayai akan berlaku sebentar sahaja lagi oleh majoriti penduduk dunia. Perkara ini turut diakui oleh beberapa orang saintis atheist yang sememangnya tidak percaya kepada kewujudan tuhan. Pelbagai ramalan, analisis dan teori berkenaan bagaimana caranya, bilakah masanya dan berapa nilai kemusnahan yang bakal melanda penduduk bumi digambarkan. Terdapat juga beberapa andaian 'saintifik' sekiranya manusia sempat mencapai teknologi yang diperlukan untuk berhadapan dengan hari tersebut, manusia boleh menidakkan perancangan tuhan. Kepupusan seperti apa yang telah terjadi kepada dinasor bilionan tahun dahulu dapat 'dielakkan' oleh spesis yang menguasai teknologi - manusia.

Stesen angkasa dibina sebagai wadah kajian atau 'bahtera Nuh'?

Semua orang sudah mendapat mesej kiamat yang terang daripada pelbagai sumber termasuk filem, buku bacaan, dokumentari. Sehinggakan orang asli yang tinggal di kawasan hutan Amazon, tanah gersang Afrika, banjaran tinggi Himalaya dan tempat-tempat yang terasing daripada kemodenan turut mendapat berita dari ramalan-ramalan kepercayaan ajaran masing-masing. Kita juga telah diwar-warkan tentang 'persediaan' negara-negara maju bagi menghadapi hari yang berat ini dengan membina teknologi-teknologi seperti satelit dan stesen angkasa bagi memberi amaran ancaman hentaman meteor, ribut solar, dan fenomena angkasa yang lain.

Filem mengenai hari kiamat juga membantu menguatkan hujah daripada agama-agama semitik (agama yang dianuti oleh keturunan Ibrahim A.S) bahawa hari kiamat akan terjadi. Di dalam filem itu memaparkan bayangan bagaimana manusia menghadapi hari tersebut. Ada pula yang berjaya mengatasi kiamat dengan 'teknologi' mereka dan ada pula yang memaparkan manusia tetap akan terus hidup walaupun selepas dihentam pelbagai kerosakan pada bumi. Apa yang pasti, berdasarkan wahyu Al Quran yang diwariskan kepada penganut agama Islam, hari kiamat adalah hari yang pasti terjadi yang tidak diketahui oleh sesiapapun bilakah munculnya, tidak dapat diawalkan mahupun dilengahkan, tidak dapat ditahan, dan tiada seorang pun yang boleh terselamat darinya walaupun anda seorang malaikat!

Filem Deep Impact

'Hero' menentang Kiamat dalam filem Armageddon
Antara filem-filem barat yang memaparkan persediaan manusia menghadapi kiamat.

Beberapa gambaran kiamat menurut Al Quran


"Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat); (ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan; dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya"
(3 - 5, Surah al-Waqia)  

"Apabila langit terbelah; dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; dan apabila lautan pecah bercampur-baur
(1 - 3, Surah al-Infitar)  

"(iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair; dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)
(8 - 9, Surah al-Maarij)

"Dan apabila bumi di ratakan; serta mengeluarkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong" 
(3 - 4, Surah al-Inshiqaq)


Solar Flare 2013??



Rajah menggambarkan tindak balas Suaran Solar

Peperangan, kebuluran, wabak penyakit aneh, fenomena cuaca luarbiasa, pemanasan global, perubahan suhu dunia dan banyak lagi senario keuzuran zaman moden berlaku silih berganti dan seperti tiada penghujung. Keperluan asasi semakin berkurangan dibawa oleh faktor sosio-politik dan ekonomi. Manusia kini bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik dan petroleum dalam ekonomi kita. Sekarang datang pula fenomena yang terbaru.

Fenomena solar flare (suaran solar) yang diramal berlaku pada tahun ini 2013 dikatakan merupakan salah satu ancaman yang terbaru selepas ramalan kalendar puak Mayan yang berakhir pada tahun 2012. Solar flare merupakan tindak-balas matahari menjadi terang secara tiba-tiba dan difahami akan melepaskan tenaga setinggi 6 × 1025 joul tenaga lebih kurang 160,000,000,000 megatan bahan letupan. Suaran itu akan menyebabkan awan elektron, ion dan atom melalui korona matahari dan akan menghampiri bumi dalam masa 1 atau dua hari sahaja!

Manusia kini bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik dan petroleum dalam ekonomi kita. Suaran solar ini diramalkan bakal mengganggu sistem elektrik dan perhubungan radio di bumi seperti cetusan EMP Electromagnetic Pulse. Dan ini akan mengundang banyak masalah kepada manusia. Apa akan terjadi sekiranya dunia tanpa elektrik dan hubungan telekomunikasi terputus? Kekecohan pasti berlaku!



Ini bukan larian amal
 
Ketegangan dalam politik negara mencetuskan keadaan yang tidak aman

Pertubuhan pengganas tumbuh bagai cendawan

Saya yakin kita tidak perlu menunggu matahari terbit dari barat untuk mengesahkan kiamat. Manusia kini sangat mudah melancarkan rusuhan dan peperangan atas dasar yang kadang-kadang tidak masuk akal serta sangat remeh. Lihat sahaja beberapa tragedi yang berlaku di negara kita dan negara-negara jiran. Keganasan dan kegilaan politik sesetengah pihak mungkin akan meragut keamanan dan mencetuskan keadaan yang tegang. Ekonomi pula akan runtuh dan kita semua akan memulakan peperangan sesama sendiri untuk terus hidup. Kembali ke zaman batu - memburu! Tidak salah jika saya mengandaikan bahawa manusia akan membunuh jirannya semata-mata untuk sebuku roti. Sila perhatikan sepotong hadis dari Rasulullah S.A.W ini:

Nawas bin Sam’an melaporkan Rasulullah berkata,

“Nabi Isa as dan sahabat-sahabatnya dikepung sehingga kepala lembu bagi mereka lebih berharga daripada 100 dinar."

(Dipetik dari Mukhtashar Sahih Muslim, no. 2048)


Nilai seratus dinar ketika zaman Rasulullah adalah sangat besar. Hadis ini memberikan gambaran nyata bahawa manusia akan berhadapan dengan isu kegawatan makanan yang maha kronik - kebuluran!


Bagaimanakah persediaan anda?

Saya tidak menafikan bahawa detik kematian dan hari kiamat merupakan sesuatu yang natural dan pasti akan mendatangi kita. Segala usaha untuk membentengi diri daripada hari kiamat besar adalah nyata sia-sia. Namun, kita perlu bersedia menangani rentetan-rentetan sebelum terjadinya peristiwa kiamat besar seperti gejala-gejala bawaan manusia. (rusuhan, peperangan) Adakah anda bersedia untuk berhadapan dengan orang-orang yang bakal merusuh ke rumah anda untuk mencuri makanan, barang berharga atau mencederakan keluarga anda?

Saya amat tertarik kepada rancangan televisyen yang ditayangkan di National Geographic TV, Doomsday Preppers. Walaupun dalam sesetengah episod, persediaan yang dilakukan oleh preppers seakan-akan tidak masuk akal dan seakan-akan cuba untuk melawan takdir tuhan. Namun begitu, terdapat episod yang memaparkan persediaan logik untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku tragedi rusuhan dan ancaman kepada keluarga.

Tiada siapa yang mahu perkara ini terjadi secara 'live' di kediaman sendiri
Persediaan yang dimaksudkan adalah menyediakan parameter ikthiar hidup meliputi stok simpanan makanan dan sumber air dalam tempoh 6 hingga 12 bulan atau lebih, termasuk parameter defensif di kawasan rumah bagi menghalang atau menewaskan musuh yang menyerang kediaman ataupun strategi meninggalkan rumah ke kawasan selamat jika kekecohan terjadi.

Salah seorang Preppers yang menyimpan bekalan makanan.

Mengajari anggota keluarga menggunakan senjata

Membina kubu bawah tanah
Preppers juga mendidik ahli keluarga termasuk anak-anak kecil menggunakan senjata dan taktik-taktik tertentu untuk mempertahankan kediaman mereka. Mereka turut mendapatkan khidmat pakar peperangan dan taktikal dalam merancang dan menyediakan parameter mereka. Seni beladiri pula menjadi semakin popular berikutan ianya boleh digunakan secara efektif. Mereka tidak lagi mengejar pingat dalam kejohanan bahkan menjadikan seni beladiri berperanan seperti yang sepatutnya - ilmu perang. Di sini saya turut menegaskan bahawa mereka yang mempunyai ilmu mempertahankan diri akan lebih berpotensi melansungkan hidup daripada mereka yang tidak memperdulikannya.

Firman Allah S.W.T:
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. 
(Al Quran surah al-Anfal: 60)


Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah”

(Dipetik dari riwayat sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim)



Bila kekecohan tercetus, sumber makanan akan terputus.

Saya percaya bahawa dunia akan menjadi semakin tidak stabil lebih-lebih lagi apa yang berlaku pada hari ini. Berikhtiar untuk terus hidup dan berjuang demi keselamatan keluarga jika ditindas adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Bahkan ganjaran syahid menanti kepada mereka-mereka yang mati mempertahankannya.

Seperti yang diterangkan di dalam 40 Hadis Akhir Zaman, fenomena matahari yang terbit dari barat merupakan tanda besar kiamat dan amalan manusia tidak akan diterima lagi setelah itu. Saya berpendapat bahawa manusia tidak akan menyedari amaran yang berusia lebih 1400 tahun ini kerana kebanyakan daripada kita tidak bangun untuk menunaikan solat subuh dan terlalu leka dengan urusan dunia. Mana mungkin kita akan melihat fenomena yang dijanjikan itu. Kita mungkin hanya akan menyedarinya apabila matahari telah berlabuh ke timur..

Saya juga percaya bahawa manusialah yang mencetuskan permulaan kiamat yang ditakdirkan. Mungkin sahaja perang nuklear bakal berlaku dan inilah yang mungkin digambarkan di dalam hadis - manusia akan dihalau oleh 'api besar' ke padang mahsyar (termpat berkumpul - dunia) dan menunggu ajal di sana. Kerosakan di dunia sememangnya angkara tangan-tangan manusia dan inilah yang mempercepatkan peristiwa kiamat itu sendiri.

Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada anda semua untuk memulakan persediaan yang rapi bagi diri sendiri dan keluarga, bukan sahaja untuk menghadapi kekecohan menjelang dan semasa hari kiamat secara fizikal, bahkan untuk meningkatkan amalan kerohanian kita kepada Allah supaya kita tidak terlewat, menyesal dan tertewas selama-lamanya. Wallahu'alam.

All Image Credit: Google

No comments:

Post a Comment