Sunday, 15 December 2013

Nunchaku 101 - Teknik Asas Permainan Nunchaku

Assalamualaikum & welcome back!


Insya'Allah, pada kali ini saya akan menerangkan beberapa teknik asas yang perlu dipelajari pelatih-pelatih baru. Kita mulakan dengan mempelajari:

1) Falsafah senjata ini
2) Anatomi Nunchaku
3) Asas pegangan
4) Asas Libasan
5) Asas Dori (Tangkapan)

Falsafah Nunchaku (kayu)


Nunchaku merupakan senjata yang mampu memberikan kemenangan, kelebihan dalam pertarungan & membekalkan kekuatan semangat kepada pemakainya asalkan mereka tidak meletakkan 100% harapan kepada senjata ini. Nunchaku sama konsepnya seperti senjata lain iaitu memberi kelebihan jarak capaian dan menghasilkan jenis pukulan yang lebih dinamik. Tetapi, nunchaku juga berkongsi kekurangan hampir semua senjata tradisional iaitu:

1) Ia boleh jatuh, akan jatuh dan mampu dirampas musuh.
2) Memiliki sifat natural sebatang kayu yang boleh terputus atau terpatah atau terbelah.
3) Boleh digunakan untuk menyerang kembali pemiliknya
4) Memerlukan jarak yang sesuai bagi hayunan
5) Memerlukan corak latihan yang berterusan, walaupun pemakai sangat terlatih.
6) Mampu mencederakan pemakai sekiranya tidak memahami mekaniknya dengan baik.
7) Walaupun tumpul, serangan di tempat yang tertentu mampu membunuh.
8) Tidak sesuai digunakan untuk menangkis serangan senjata tajam seperti hirisan pedang dan 
    lain-lain.

Anda perlu mengkaji kelebihan dan kekurangan nunchaku dan mengambil kesempatan darinya secara maksimum. Di sini, pelatih nunchaku sering diingatkan supaya tidak terlalu menaruh harap kepada senjata ini kerana kemungkinan senjata tersebut terjatuh atau dirampas musuh adalah sangat tinggi. Semangat juang biasanya akan luntur melebihi 50% menurut ahli tempur zaman dahulu dalam kitab seni tempur mereka seperti Sun Tzu (Sūnzǐ Bīngfǎ) dan Miyamoto Musashi (Gorinnosho).


Masalah yang sama turut dilaporkan ahli psikologi moden berdasarkan lumrah kebergantungan manusia terhadap sesuatu akan juga merendahkan moral & sikap mereka sekiranya terjadi sebaliknya.

Beberapa kelebihan Nunchaku:

1) Menambah jarak serangan (reach) & meningkatkan kuasa pukulan (strike)
2) Dapat membantu pelatih yang lemah pukulan fizikal seperti tendangan atau tumbukan.
3) Mampu melatih kelajuan, memperbaiki postur dan tangan pelatih Karate-Do.
4) Boleh digunakan untuk tujuan reverse psikologi bagi menakutkan musuh.
5) Mekanisma hayunan yang dinamik dan boleh menyerang musuh dengan lebih laju.
6) Boleh menangkap, membelit & mengunci serangan musuh
7) Boleh dibaling dari jarak dekat ke jarak sederhana
8) Hanya satu pukulan tepat ke kepala diperlukan bagi menentukan halatuju pertempuran.
9) Mampu menangani beberapa orang penyerang dalam satu-satu masa
10) Mudah dibawa atau disorok di dalam baju, beg, pouch atau tas tangan wanita.
11) Pengamal tahap advance mampu membuat bantingan kepada musuh menggunakannya.

Kesimpulannya, tidak mengapa sekiranya senjata ini terjatuh dalam latihan ataupun dalam situasi sebenar. Ini bukanlah hari malang anda sekiranya anda turut melatih diri dalam countermeasure (membalas) atau situasi terbalik di mana anda pula yang diserang menggunakan senjata ini dan terpaksa menanganinya dengan tangan kosong.

 



Anatomi Nunchaku Kayu Oktagon


Perhatikan zon-zon nunchaku yang terdiri daripada:
1) Kepala Kantoh (Top)
2) Himo/Kusari (Tali/rantai)
3) Kawasan Badan Atas Jokonbu (Upper)
3) Kawasan Badan Tengah Chukonbu (middle)
4) Kawasan Hujung Kikonbu (lower area)
6) Dasar Kontei (Bottom)







 

 

ASAS MEMEGANG NUNCHAKU


Terdapat 6 cara memegang nunchaku yang boleh dipraktikkan:

i)   Memegang dengan lebihan jarak 1 inci dari hujungnya


     Kelebihan dari segi kekuatan pukulan & mampu menjangkau musuh lingkungan 2 meter dengan 
     kekurangan dari segi kelajuan libasan & tenaga yang diperlukan untuk melibas.


ii) Memegang badan/tengah nunchaku

     Kekuatan yang sederhana dan mengorbankan sedikit jarak jangkau demi dinamik hayunan yang 
     lebih baik.


iii) Memegang hujung kepala nunchaku (tidak menyentuh Himo/Kusari-tali/rantai)

     Memberi fleksibiliti maksimum kepada nunchaku dan berhadapan kekurangan kuasa serta jarak 
     capaian

iv)  Pegangan Kembar (Memegang kedua-dua belah badan nunchaku bersama)

      Berfungsi seperti baton dan sangat praktikal dalam menangani musuh jarak dekat dan jarak 
      rangkulan (clinch)


v) Pegangan Terbalik (reverse grip) dengan setiap tangan memegang setiap sisi
    Berfungsi seperti double stick tetapi versi mini dengan tahap pukulan terhad dan kemampuan 
    menangkis serangan senjata sederhana.


vi) Pegangan Natural (unique grip)
     Pelatih yang mahir akan mengembangkan cara pegangan yang unik mengikut keupayaan dan 
     kecenderungan (kegemaran) sendiri.

Pelatih baru kebiasaannya akan diajar menggunakan cara ke III dan kemudian akan meningkat kepada cara ke II dan apabila lebih mahir, mereka perlu mengendalikan senjata itu pada cara pertama. Teknik memegang ke iv dan ke v adalah bagi mereka yang ingin mempelbagaikan potensi nunchaku dan biasanya diajar setelah pelatih 'serasi' dengan teknik asas senjata mereka.

Setelah beberapa tempoh waktu bersama senjata ini dan belajar daripada pengalaman sendiri, pelatih mampu mencipta sendiri corak pegangan mengikut teknik natural mereka sendiri.

Asas Libasan


Pelatih kemudian diberi tutorial libasan 8 arah (kutub) mengikut tahap pegangan di atas sama seperti  kompas dan meneruskan latihan di samping mengurangkan kadar kekerapan senjata yang terjatuh dari pegangan sendiri.

Asas Dori (Tangkapan)


Kemudian mereka perlu belajar asas menangkap hujung nunchaku yang dilibas termasuk:

1) Mae Dori (dari Depan)
2) Ushiro Dori (dari Belakang)
3) Yoko Dori (dari sisi)
4) Age Dori (dari atas)

Pelatih yang menunjukkan kemajuan akan diajar teknik tangkapan peringkat yang lebih tinggi yang memerlukan lebih komitmen dan latihan panjang. Kebiasaanya pelatih akan dinasihatkan untuk tidak melihat kepada hayunan senjata tersebut dan menumpukan perhatian kepada persekitaran, situasi serta gerakan musuh.


(bersambung...)

Wednesday, 4 December 2013

Nunchaku 101 - Pengenalan Kepada Nunchaku

Salam sejahtera. Artikel ini ditulis bagi membantu peminat dan pelatih Nunchaku memahami konteks penggunaan sebenar senjata ini dan memanfaatkan kelebihannya dalam kehidupan. Semoga pembaca dapat mengambil sedikil pelajaran daripada isinya dan mencari dojo yang berkaitan dengan senjata ini bagi meneruskan pendidikan secara praktikal sehingga tamat.

Pembaca dinasihatkan untuk tidak melatih senjata ini tanpa pengawasan jurulatih yang bertauliah kerana ia mampu menyebabkan kecederaan serius. Pembaca juga dinasihatkan untuk tidak mencari online video seperti youtube dan sebagainya kerana kebanyakan video yang dipaparkan tidak menunjukkan hakikat penggunaan senjata yang sebenar.

Memetik kata-kata salah seorang pelajar Nunchaku saya, "poyo adalah dilarang sama sekali!". Belajar sehingga tamat dan sebarkan dan jangan salah guna senjata ini sebagai alat tunjuk hebat di laman sosial dengan bergambar dengannya tapi tak tahu apa-apa. Opps!
Kali ini kita akan memuatkan beberapa pengetahuan asas yang wajib diketahui pelatih Nunchaku. Sebagai pengenalan, mari kita pelajari apa itu Nunchaku dan daripada mana asalnya.

Nunchaku Kayu Oktagon

NUNCHAKU

Ia adalah sejenis senjata tradisional daripada kategori keluarga Bo (kayu pemukul), mempunyai dua seksyen pemegang yang biasanya diperbuat daripada kayu dan disambungkan bersama tali (Himo) atau rantai yang dipanggil 'Kusari'. Senjata yang sangat low-profile ini boleh digunakan sebelah atau secara berkembar.

Secara umum, seluruh dunia mengatakan Nunchaku berasal dari kepulauan Okinawa kerana banyak sekolah seni menggunakannya terlahir dari tempat ini. Dari segi faktanya: memang iya Nunchaku diguna-pakai oleh pelatih-pelatih Kobudo di daerah ini sejak awal tahun 1850+ lagi tetapi kewujudannya masih belum dapat dipastikan dengan tepat berikutan ada pendapat mengatakan ianya tidak berasal dari Okinawa tetapi berasal dari kawasan Asia Tenggara. 

Di Nusantara, alatan ini digunakan untuk memukul dan meleraikan padi dari tangkainya. Ya, sejenis alatan pertanian. Namun, ada juga artifak seperti nunchaku dijumpai di Jepun tetapi mengikut kajian ianya bukanlah digunakan sebagai alatan pertanian mahupun dalam pertarungan. Apa yang menarik, ianya digunakan sebagai penepuk besi yang diketuk oleh penduduk sesuatu kampung sebagai alat penggera atau menarik perhatian umum untuk memberitahu waktu seperti jam loceng.


Mendiang Lee Jun Fan
Populariti yang diraih senjata ini daripada pengaruh mendiang Lee Jun Fan (1940-1973) a.k.a Bruce Lee kini tidaklah seperti apa yang berlaku di Okinawa. Berikutan ianya tidak seefektif senjata-senjata di waktu pemerintahan samurai (1609) di Okinawa seperti pedang dan tombak lebih-lebih lagi pengharaman senjata oleh puak samurai Shimazu, beberapa teknik penggunaannya telah muncul tetapi tidak begitu berkembang seperti kini.

Puak Samurai Shimazu ketika menyerang Okinawa
Nunchaku sering menjadi pilihan pelatih Karate & Kobudo kerana keunikan momentumnya membantu dalam banyak aspek latihan dasar seperti melatih kelajuan, memperbaiki postur dan tangan pelatih.

Nunchaku moden dibuat daripada plastik, fiber glass atau foam dan digunakan dalam acara sukan sentuhan mahupun dalam latihan kecergasan.

GAYA PERMAINAN NUNCHAKU

Nunchaku dalam latihan tradisional Kobujutsuryu


Gaya ortodoks bermaksud gaya formal yang lahir daripada sekolah seni mempertahankan diri. Kebiasaannya seni Nunchaku Okinawa dilatih menggunakan seni Kobudo Koryu menggunakan Nunchaku kayu keras atau besi.

Pertunjukan Free-Style


Gaya Free-Style yang lebih bersifat pertunjukkan seni & tidak berfungsi sebagai senjata. Mereka lebih suka memaparkan aksi melambung, memusing dan libasan-libasan menarik yang dipengaruhi oleh ketangkasan mendiang Lee Jun Fan dalam beberapa filem terakhirnya. Himo Nunchaku yang digunakan lebih pendek dan diameter pemengangnya sangat sempit berbanding senjata asli yang lebar untuk memudahkan trik dibuat.

P/S: Masih belum jumpa lagi dengan penggiat free-style nunchaku yang mampu memberikan aksi yang sama laju/tangkas menggunakan nunchaku tradisi. Ramai di antara mereka tidak mempelajari nunchaku kombat.


SUKAN TEMPUR NUNCHAKU



Perlu difahami, sukan Nunchaku bukanlah seperti pertujukkan aksi memusing atau melambung Nunchaku tetapi lebih menjurus kepada sukan pertarungan menggunakan senjata ini. Gambar di atas menunjukkan Nunchaku dimainkan dalam Kumite tanpa menggunakan peralatan sukan lengkap kecuali sarung tangan & topeng muka sahaja. Walau bagaimanapun, sukan ini masih dianggap muda kerana masih tidak digazetkan dalam mana-mana sukan peringkat negara ataupun pertubuhan antarabangsa.

Mata dikumpul mengikut kawasan serangan mirip kepada sukan Karate WKF. Tiga mata penuh bagi serangan kepala, belakang atau sekiranya lawan dapat dijatuhkan dengan teknik kuncian. Dua mata bagi serangan balas dengan merampas atau menjatuhkan senjata lawan dan satu mata bagi pukulan biasa. Mata akan ditolak jika serangan terkena kawasan amaran seperti pada halkum, kemaluan dan mata atau teknik kuncian pada leher yang bahaya seperti kuncian yang mencekik. Pemarkahan ini berbeza mengikut pertubuhan Nunchaku moden dan masih belum diseragamkan.

(bersambung...)