Sunday, 15 December 2013

Nunchaku 101 - Teknik Asas Permainan Nunchaku

Assalamualaikum & welcome back!


Insya'Allah, pada kali ini saya akan menerangkan beberapa teknik asas yang perlu dipelajari pelatih-pelatih baru. Kita mulakan dengan mempelajari:

1) Falsafah senjata ini
2) Anatomi Nunchaku
3) Asas pegangan
4) Asas Libasan
5) Asas Dori (Tangkapan)

Falsafah Nunchaku (kayu)


Nunchaku merupakan senjata yang mampu memberikan kemenangan, kelebihan dalam pertarungan & membekalkan kekuatan semangat kepada pemakainya asalkan mereka tidak meletakkan 100% harapan kepada senjata ini. Nunchaku sama konsepnya seperti senjata lain iaitu memberi kelebihan jarak capaian dan menghasilkan jenis pukulan yang lebih dinamik. Tetapi, nunchaku juga berkongsi kekurangan hampir semua senjata tradisional iaitu:

1) Ia boleh jatuh, akan jatuh dan mampu dirampas musuh.
2) Memiliki sifat natural sebatang kayu yang boleh terputus atau terpatah atau terbelah.
3) Boleh digunakan untuk menyerang kembali pemiliknya
4) Memerlukan jarak yang sesuai bagi hayunan
5) Memerlukan corak latihan yang berterusan, walaupun pemakai sangat terlatih.
6) Mampu mencederakan pemakai sekiranya tidak memahami mekaniknya dengan baik.
7) Walaupun tumpul, serangan di tempat yang tertentu mampu membunuh.
8) Tidak sesuai digunakan untuk menangkis serangan senjata tajam seperti hirisan pedang dan 
    lain-lain.

Anda perlu mengkaji kelebihan dan kekurangan nunchaku dan mengambil kesempatan darinya secara maksimum. Di sini, pelatih nunchaku sering diingatkan supaya tidak terlalu menaruh harap kepada senjata ini kerana kemungkinan senjata tersebut terjatuh atau dirampas musuh adalah sangat tinggi. Semangat juang biasanya akan luntur melebihi 50% menurut ahli tempur zaman dahulu dalam kitab seni tempur mereka seperti Sun Tzu (Sūnzǐ Bīngfǎ) dan Miyamoto Musashi (Gorinnosho).


Masalah yang sama turut dilaporkan ahli psikologi moden berdasarkan lumrah kebergantungan manusia terhadap sesuatu akan juga merendahkan moral & sikap mereka sekiranya terjadi sebaliknya.

Beberapa kelebihan Nunchaku:

1) Menambah jarak serangan (reach) & meningkatkan kuasa pukulan (strike)
2) Dapat membantu pelatih yang lemah pukulan fizikal seperti tendangan atau tumbukan.
3) Mampu melatih kelajuan, memperbaiki postur dan tangan pelatih Karate-Do.
4) Boleh digunakan untuk tujuan reverse psikologi bagi menakutkan musuh.
5) Mekanisma hayunan yang dinamik dan boleh menyerang musuh dengan lebih laju.
6) Boleh menangkap, membelit & mengunci serangan musuh
7) Boleh dibaling dari jarak dekat ke jarak sederhana
8) Hanya satu pukulan tepat ke kepala diperlukan bagi menentukan halatuju pertempuran.
9) Mampu menangani beberapa orang penyerang dalam satu-satu masa
10) Mudah dibawa atau disorok di dalam baju, beg, pouch atau tas tangan wanita.
11) Pengamal tahap advance mampu membuat bantingan kepada musuh menggunakannya.

Kesimpulannya, tidak mengapa sekiranya senjata ini terjatuh dalam latihan ataupun dalam situasi sebenar. Ini bukanlah hari malang anda sekiranya anda turut melatih diri dalam countermeasure (membalas) atau situasi terbalik di mana anda pula yang diserang menggunakan senjata ini dan terpaksa menanganinya dengan tangan kosong.

 



Anatomi Nunchaku Kayu Oktagon


Perhatikan zon-zon nunchaku yang terdiri daripada:
1) Kepala Kantoh (Top)
2) Himo/Kusari (Tali/rantai)
3) Kawasan Badan Atas Jokonbu (Upper)
3) Kawasan Badan Tengah Chukonbu (middle)
4) Kawasan Hujung Kikonbu (lower area)
6) Dasar Kontei (Bottom)







 

 

ASAS MEMEGANG NUNCHAKU


Terdapat 6 cara memegang nunchaku yang boleh dipraktikkan:

i)   Memegang dengan lebihan jarak 1 inci dari hujungnya


     Kelebihan dari segi kekuatan pukulan & mampu menjangkau musuh lingkungan 2 meter dengan 
     kekurangan dari segi kelajuan libasan & tenaga yang diperlukan untuk melibas.


ii) Memegang badan/tengah nunchaku

     Kekuatan yang sederhana dan mengorbankan sedikit jarak jangkau demi dinamik hayunan yang 
     lebih baik.


iii) Memegang hujung kepala nunchaku (tidak menyentuh Himo/Kusari-tali/rantai)

     Memberi fleksibiliti maksimum kepada nunchaku dan berhadapan kekurangan kuasa serta jarak 
     capaian

iv)  Pegangan Kembar (Memegang kedua-dua belah badan nunchaku bersama)

      Berfungsi seperti baton dan sangat praktikal dalam menangani musuh jarak dekat dan jarak 
      rangkulan (clinch)


v) Pegangan Terbalik (reverse grip) dengan setiap tangan memegang setiap sisi
    Berfungsi seperti double stick tetapi versi mini dengan tahap pukulan terhad dan kemampuan 
    menangkis serangan senjata sederhana.


vi) Pegangan Natural (unique grip)
     Pelatih yang mahir akan mengembangkan cara pegangan yang unik mengikut keupayaan dan 
     kecenderungan (kegemaran) sendiri.

Pelatih baru kebiasaannya akan diajar menggunakan cara ke III dan kemudian akan meningkat kepada cara ke II dan apabila lebih mahir, mereka perlu mengendalikan senjata itu pada cara pertama. Teknik memegang ke iv dan ke v adalah bagi mereka yang ingin mempelbagaikan potensi nunchaku dan biasanya diajar setelah pelatih 'serasi' dengan teknik asas senjata mereka.

Setelah beberapa tempoh waktu bersama senjata ini dan belajar daripada pengalaman sendiri, pelatih mampu mencipta sendiri corak pegangan mengikut teknik natural mereka sendiri.

Asas Libasan


Pelatih kemudian diberi tutorial libasan 8 arah (kutub) mengikut tahap pegangan di atas sama seperti  kompas dan meneruskan latihan di samping mengurangkan kadar kekerapan senjata yang terjatuh dari pegangan sendiri.

Asas Dori (Tangkapan)


Kemudian mereka perlu belajar asas menangkap hujung nunchaku yang dilibas termasuk:

1) Mae Dori (dari Depan)
2) Ushiro Dori (dari Belakang)
3) Yoko Dori (dari sisi)
4) Age Dori (dari atas)

Pelatih yang menunjukkan kemajuan akan diajar teknik tangkapan peringkat yang lebih tinggi yang memerlukan lebih komitmen dan latihan panjang. Kebiasaanya pelatih akan dinasihatkan untuk tidak melihat kepada hayunan senjata tersebut dan menumpukan perhatian kepada persekitaran, situasi serta gerakan musuh.


(bersambung...)

No comments:

Post a Comment