Friday 26 April 2013

Tested & Bulldozed! Tayar Supersport Metzeler Sportec M5 Interact

Mungkin anda akan menyangkal apa yang bakal dibaca TETAPI saya telah mencubanya sendiri. Saya akan dengan sedaya upaya melaporkan kelebihan & keunikan tayar berprestasi tinggi keluaran pengilang Jerman, Metzeler. : Tayar Supersport Metzeler Sportec M5 Interact.

Ninja ZX10R menyusuri selekoh pada kelajuan yang tinggi
 Image Credit: Google Images

Sama ada keperluan tunggangan anda untuk berulang-alik ke tempat kerja, menguasai lebuhraya atau mengasah lutut pada kelajuan yang tinggi di dalam trek dengan motorsikal berkuasa tinggi dari kelas 600CC sehingga 1400CC ke atas (Motorsikal Jepun atau Eropah), anda pasti mempunyai SATU masalah yang sama.

Jadi apa masalahnya?

Membuat pertimbangan dalam memilih profil tayar yang mengimbangi gaya tunggangan anda yang agresif (perlumbaan trek), dalam masa yang sama mempunyai jangka hayat yang panjang (lebih kilometer-menjimatkan) dan memiliki cengkaman yang jitu berdasarkan cuaca panas hujan di negara kita. Ini adalah persoalan yang sering diajukan di dalam ratusan blog dan forum peminat motorsikal berkuasa tinggi di seluruh dunia.

Apa yang perlu kita fahami mengenai tayar teknologi multi-purpose supersport adalah: Satu teknologi diperlukan bagi tayar yang mampu mengimbangi variasi keperluan penunggang supersport seperti:

1) Fungsi yang difikirkan bakal dipikul oleh tayar tersebut.
2) Faktor prestasi seperti heretan (drag), kelajuan & cengkaman.
3) Faktor cuaca (jalan basah dan kering)
4) Nilai untuk wang (harga pasaran vs. prestasi)
5) Jangka hayat yang lebih panjang tanpa berkompromi dengan prestasi.

Tulisan ini bukanlah sejenis advertorial kerana saya bukanlah seorang peniaga dan ini bukan iklan! Saya berharap para penunggang atau mereka yang ingin menjejakkan kaki ke dalam dunia permotoran supersport mendapat real life feedback. Artikel ini diharap dapat membantu ramai orang - mencegah sakit kepala memilih tayar dan memulihkan poket-poket mereka! Percayalah, saya sendiri mengalami kepayahan terpaksa bertukar-tukar jenama tayar, berdialog dengan:

1) Rakan-rakan penunggang termasuk mekanik dan pelumba pro MSS (Malaysian Super Series)
2) Rider bajet macam pro tapi taktau hape
3) Rider cyber yang menunggang di dalam alam siber je, takde motor tapi banyak cakap besar!
4) Feedback rakan rider yang menggunakan produk ini
5) Sumber tambahan dari forum/blog di internet;

sebagai rujukan dalam misi mencari tayar mutlak (ultimate) selama beberapa tahun kebelakangan ini!

Jom kita mulai..

Jerman, sebuah negara yang bangun dengan pantas dari keruntuhan perang dunia ke-2, dikenali sebagai negara industri yang pakar dalam dalam kejuruteraan. Banyak produk berjenama dan berteknologi tinggi muncul dari sana. Metzeler merupakan salah satu pengilang tayar yang terkemuka dari Jerman. Rangkaian mereka telah berkembang pada beberapa tahun kebelakangan ini dan mereka menawarkan sejenis tayar untuk dipertimbangkan oleh penunggang motosikal sport di Malaysia.

Image Credit: Metzeler.com

Metzeler mendakwa tayar terknologi baru keluaran mereka:
Sportec M5 Interact berupaya berinteraksi dengan prestasi seperti yang diimpikan oleh ramai penunggang. Kebiasaannya, tayar menggunakan teknologi dua kompaun iaitu dengan getah yang lebih keras berada di pusat untuk meningkatkan jangkauan kilometer dan sebatian getah lembut di sisi tayar untuk cengkaman maksimum semasa 'melefer'.

1. Teknologi Multi Kompaun

Tayar berteknologi Multi Kompaun
 Image Credit: Metzeler.com
Sportec M5 berinteraksi menggunakan tiga tahap yang berbeza dalam lima bahagian pada permukaan tayar. Di pusat tayar, kekerasan getah adalah yang terhebat. Memiliki tayar keras bererti lebih stabil pada kelajuan tinggi dan lambat haus. Apabila berhadapan dengan selekoh yang mencabar, Sportec M5 menggunakan ketegangan dasar yang keras di bawah dengan kompaun getah yang lembut di permukaan bagi cengkaman sisi yang bermutu.

Slider pada helmet - Iklan rasmi Sportec M5
Image Credit: Metzeler.com

2. Misi membunuh anak gajah!

Apa yang lebih menarik apabila saya menggunakan tayar ini, saya dapati tayar ini membantu teknik tunggangan saya dalam membuat belokan di selekoh.

Dimanakah tahap cornering anda?

Image Credit: Metzeler.com

Zon 'leper' ditandakan dengan ikon dan nombor 'anugerah level' yang tertentu yang saya lihat berjaya dalam membantu penunggang baru menilai darjah kecondongan 'cornering' mereka. Sebelum ini, penunggang yang 'otai' menunjukkan bukti keotaian mereka pada kesan tayar yang haus sehingga ke pinggir tayar. Ini juga merupakan bukti 'keberanian' mereka.

Lima nombor di atas ditujukan kepada penunggang baru sehingga penunggang tahap pertengahan dan mereka boleh melangkah ke tahap tunggangan pro 3 peringkat ke bawah lagi. Misi membunuh anak gajah pun bermula dan itu merupakan detik yang paling manis dalam hidup saya sehingga kini. Apabila tayar yang haus diganti dengan tayar yang baru, saya pun memulakan semula misi saya. Best bukan??

3. Silikon & Cuaca bukan penghalang

Rider otai akan selalu mengingatkan rider beginner bahawa teknik tunggangan agresif harus dikurangkan sewaktu jalan basah atau ketika hujan. (bawak slow) Tayar tertentu akan mempunyai nilai cengkaman yang berbeza dan menjadi panas dalam waktu yang berbeza bagi cengkaman menggigit di jalan kering.

Tayar yang baru dipasang perlu 'dibabtiskan' dulu dengan tunggangan berhati-hati (selalunya 100-200km) untuk membuang lapisan silikon yang digunakan pengilang bagi menanggalkan tayar dari mesin mold ketika pembuatan. Ada juga rider yang datang dengan inovasi tersendiri bagaimana hendak menggunakan tayar baru dengan cepat - iaitu dengan mengasah permukaan tayar tersebut untuk mengakses permukaan getah yang sebenar.

Perkara ini bukan menjadi masalah kepada Sportec M5. Saya telah mengganti sebanyak 3 set tayar depan dan belakang dan setiap kali itulah saya mendapat cengkaman yang diperlukan secepat mungkin. Cuaca hujan?? Selalunya motorsikal Kawasaki Ninja ZX6R saya akan menjadi 'kapcai' dan dikenderai selaju 60-80km/h sahaja ketika menggunakan tayar seperti Bridgestone 016 (tayar asal) kerana kesan 'geli-geli' yang menaikkan bulu roma terasa apabila melanggar garis jalan ketika membelok dan membrek di jalan yang basah.

Ini tidak terjadi pada Sportec M5! Tunggangan saya menjadi lebih lancar walaupun melanggar air yang bergenang ketika meredah banjir mini sepanjang jalan ke bumi Kuala Terengganu dan tidak banyak perubahan traction di jalan basah dengan jalan kering. INI TELAH MENINGKATKAN KEYAKINAN SAYA dan saya percaya bahawa tayar ini telah menjalankan tugasnya dengan baik sekali walaupun harganya mahal sedikit dari jenama tayar perlumbaan yang lain. Hakikat ini diakui oleh BMW Motorrad sendiri yang menyarankan motorsikal keluaran mereka S1000RR (motorsikal supersport paling berkuasa dalam kelas 1000CC!) dipasang dengan tayar Sportec M5 sebagai standard kilang. Tak percaya lagi? Pergilah ke Youtube dan puaskan hati anda menonton review dari banyak pihak memuji kehebatan Sportec M5.

BMW S1000RR dengan Sportec M5 di pameran Motorshow, Paris
Image Credit: Google Images

Jika anda adalah seorang penunggang yang nak cepat menggunakan tayar untuk tunggangan agresif dan mencari tayar yang memupuk keyakinan anda pada cengkaman, inilah jawapannya.

4. Jangka hayat yang TERBAEK!

Sportec M5 adalah tayar yang berada di antara profil tayar keras (touring) dan profil tayar racing (slick). Tayar yang seimbang dari segi cengkaman dan jangka hayat. Sportec M5 memiliki kebaikan dari kedua-dua profil ini bagi kegunaan penunggang yang ride setiap hari ke tempat kerja, suka berkonvoi jalan jauh dan mungkin sekali-sekala ke track day. So far, saya sangat berpuas hati dengan hayat tayar ini kerana saya adalah penunggang long distance dan terdapat banyak corner yang lazat di sepanjang laluan terutamanya di Karak.

Ninja saya dipasang Sportec M5 Interact
Image Credit: Personal Collection

Pandangan sisi - Perhatikan bunga tayar yang dalam!
Image Credit: Personal Collection

Tayar hadapan bersaiz 120mm - tak menghampakan!
Image Credit: Personal Collection

Selalu menggunakan Ninja saya untuk berulang-alik dari Kuala Terengganu ke kampung saya di Kuala Selangor dengan jarak 1000+ km pergi-balik. Melayan corner di Highway Karak sangat menyeronokkan. (tapi awas setan2 yang mencurahkan minyak di jalan)

5. Kejituan dan keyakinan ketika kecemasan

Jentera Ninja ZX6R saya yang masih menggunakan Sportec M5

Image Credit: Personal Collection

2 jam sebelum artikel ini ditulis, saya dan isteri sangat berterima kasih kepada cengkaman tayar ini kerana mampu berhenti dengan stabil pada kelajuan yang tinggi dan dalam masa yang singkat. Mengelak Myvi hitam yang dipandu oleh 'pemandu Mclaren' Terengganu yang mengambil pusingan-U sambil menghafal sifir 4 bukan lagi mustahil bagi saya! Kejadian ini dapat ditangani dengan baik sekali kerana pertolongan Allah, kestabilan ketika membrek dan saya tidak panik kerana keyakinan terhadap jentera tunggangan dalam kondisi TERBAEK!

Nota bagi pemandu kereta: Sila pastikan tiada kenderaan datang dari arah bertentangan sebelum membuat belokan atau andalah pemandu yang paling tidak bertimbang rasa dan seeloknya dilabel sebagai pembunuh yang boleh didakwa! Sila pastikan anda tahu jarak & masa kenderaan yang datang ke arah anda. Ramai rakan-rakan penunggang tercedera dan ada yang terkorban akibat kecuaian pemandu amatur kelas Kunta-kinte Afrika ni.

Penutup

Saya sangat-sangat berpuas hati dengan nilai wang yang dicurahkan bagi memiliki tayar yang berprestasi tinggi, memiliki sebahagian dari profil tayar yang diingini oleh kebanyakan penunggang dan rekaan bunga tanyar yang 'menggarangkan' rekabentuk keseluruhan motorsikal saya dari setiap posisi. Artikel ini turut menjawab beberapa tuduhan liar (uneducated guess) sesetengah rider bahawa tayar yang banyak berbunga hanya sesuai dipakai kepada jentera touring, naked dan cruiser sahaja dan tidak sesuai bagi motor Supersport mahupun Hypersport.

Sekiranya anda seorang rider yang berfikiran sedemikian, saya yakin anda belum mencuba Sportec M5 dan hanya membaca forum amatur sahaja. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan sokongan pengeluar motorsikal berkuasa tinggi kelas dunia yang banyak menjuarai perlumbaan WSBK World Superbike: BMW Motorrad. Jika anda mempunyai pengalaman menggunakan produk ini, sila kongsikan kepada pembaca yang lain di ruangan komen di bawah. Peace!

Saturday 20 April 2013

Persediaan Sebelum Matahari Terbit Dari Barat!

Adakah anda percaya kepada hari kemusnahan tamadun manusia secara total?
 
 
Gambaran kemusnahan besar-besaran kepada dunia

Hari kiamat yang disebut sebagai Doomsday tidak dapat disangkal lagi. Hal yang dipercayai akan berlaku sebentar sahaja lagi oleh majoriti penduduk dunia. Perkara ini turut diakui oleh beberapa orang saintis atheist yang sememangnya tidak percaya kepada kewujudan tuhan. Pelbagai ramalan, analisis dan teori berkenaan bagaimana caranya, bilakah masanya dan berapa nilai kemusnahan yang bakal melanda penduduk bumi digambarkan. Terdapat juga beberapa andaian 'saintifik' sekiranya manusia sempat mencapai teknologi yang diperlukan untuk berhadapan dengan hari tersebut, manusia boleh menidakkan perancangan tuhan. Kepupusan seperti apa yang telah terjadi kepada dinasor bilionan tahun dahulu dapat 'dielakkan' oleh spesis yang menguasai teknologi - manusia.

Stesen angkasa dibina sebagai wadah kajian atau 'bahtera Nuh'?

Semua orang sudah mendapat mesej kiamat yang terang daripada pelbagai sumber termasuk filem, buku bacaan, dokumentari. Sehinggakan orang asli yang tinggal di kawasan hutan Amazon, tanah gersang Afrika, banjaran tinggi Himalaya dan tempat-tempat yang terasing daripada kemodenan turut mendapat berita dari ramalan-ramalan kepercayaan ajaran masing-masing. Kita juga telah diwar-warkan tentang 'persediaan' negara-negara maju bagi menghadapi hari yang berat ini dengan membina teknologi-teknologi seperti satelit dan stesen angkasa bagi memberi amaran ancaman hentaman meteor, ribut solar, dan fenomena angkasa yang lain.

Filem mengenai hari kiamat juga membantu menguatkan hujah daripada agama-agama semitik (agama yang dianuti oleh keturunan Ibrahim A.S) bahawa hari kiamat akan terjadi. Di dalam filem itu memaparkan bayangan bagaimana manusia menghadapi hari tersebut. Ada pula yang berjaya mengatasi kiamat dengan 'teknologi' mereka dan ada pula yang memaparkan manusia tetap akan terus hidup walaupun selepas dihentam pelbagai kerosakan pada bumi. Apa yang pasti, berdasarkan wahyu Al Quran yang diwariskan kepada penganut agama Islam, hari kiamat adalah hari yang pasti terjadi yang tidak diketahui oleh sesiapapun bilakah munculnya, tidak dapat diawalkan mahupun dilengahkan, tidak dapat ditahan, dan tiada seorang pun yang boleh terselamat darinya walaupun anda seorang malaikat!

Filem Deep Impact

'Hero' menentang Kiamat dalam filem Armageddon
Antara filem-filem barat yang memaparkan persediaan manusia menghadapi kiamat.

Beberapa gambaran kiamat menurut Al Quran


"Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat); (ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan; dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya"
(3 - 5, Surah al-Waqia)  

"Apabila langit terbelah; dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; dan apabila lautan pecah bercampur-baur
(1 - 3, Surah al-Infitar)  

"(iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair; dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)
(8 - 9, Surah al-Maarij)

"Dan apabila bumi di ratakan; serta mengeluarkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong" 
(3 - 4, Surah al-Inshiqaq)


Solar Flare 2013??



Rajah menggambarkan tindak balas Suaran Solar

Peperangan, kebuluran, wabak penyakit aneh, fenomena cuaca luarbiasa, pemanasan global, perubahan suhu dunia dan banyak lagi senario keuzuran zaman moden berlaku silih berganti dan seperti tiada penghujung. Keperluan asasi semakin berkurangan dibawa oleh faktor sosio-politik dan ekonomi. Manusia kini bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik dan petroleum dalam ekonomi kita. Sekarang datang pula fenomena yang terbaru.

Fenomena solar flare (suaran solar) yang diramal berlaku pada tahun ini 2013 dikatakan merupakan salah satu ancaman yang terbaru selepas ramalan kalendar puak Mayan yang berakhir pada tahun 2012. Solar flare merupakan tindak-balas matahari menjadi terang secara tiba-tiba dan difahami akan melepaskan tenaga setinggi 6 × 1025 joul tenaga lebih kurang 160,000,000,000 megatan bahan letupan. Suaran itu akan menyebabkan awan elektron, ion dan atom melalui korona matahari dan akan menghampiri bumi dalam masa 1 atau dua hari sahaja!

Manusia kini bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik dan petroleum dalam ekonomi kita. Suaran solar ini diramalkan bakal mengganggu sistem elektrik dan perhubungan radio di bumi seperti cetusan EMP Electromagnetic Pulse. Dan ini akan mengundang banyak masalah kepada manusia. Apa akan terjadi sekiranya dunia tanpa elektrik dan hubungan telekomunikasi terputus? Kekecohan pasti berlaku!



Ini bukan larian amal
 
Ketegangan dalam politik negara mencetuskan keadaan yang tidak aman

Pertubuhan pengganas tumbuh bagai cendawan

Saya yakin kita tidak perlu menunggu matahari terbit dari barat untuk mengesahkan kiamat. Manusia kini sangat mudah melancarkan rusuhan dan peperangan atas dasar yang kadang-kadang tidak masuk akal serta sangat remeh. Lihat sahaja beberapa tragedi yang berlaku di negara kita dan negara-negara jiran. Keganasan dan kegilaan politik sesetengah pihak mungkin akan meragut keamanan dan mencetuskan keadaan yang tegang. Ekonomi pula akan runtuh dan kita semua akan memulakan peperangan sesama sendiri untuk terus hidup. Kembali ke zaman batu - memburu! Tidak salah jika saya mengandaikan bahawa manusia akan membunuh jirannya semata-mata untuk sebuku roti. Sila perhatikan sepotong hadis dari Rasulullah S.A.W ini:

Nawas bin Sam’an melaporkan Rasulullah berkata,

“Nabi Isa as dan sahabat-sahabatnya dikepung sehingga kepala lembu bagi mereka lebih berharga daripada 100 dinar."

(Dipetik dari Mukhtashar Sahih Muslim, no. 2048)


Nilai seratus dinar ketika zaman Rasulullah adalah sangat besar. Hadis ini memberikan gambaran nyata bahawa manusia akan berhadapan dengan isu kegawatan makanan yang maha kronik - kebuluran!


Bagaimanakah persediaan anda?

Saya tidak menafikan bahawa detik kematian dan hari kiamat merupakan sesuatu yang natural dan pasti akan mendatangi kita. Segala usaha untuk membentengi diri daripada hari kiamat besar adalah nyata sia-sia. Namun, kita perlu bersedia menangani rentetan-rentetan sebelum terjadinya peristiwa kiamat besar seperti gejala-gejala bawaan manusia. (rusuhan, peperangan) Adakah anda bersedia untuk berhadapan dengan orang-orang yang bakal merusuh ke rumah anda untuk mencuri makanan, barang berharga atau mencederakan keluarga anda?

Saya amat tertarik kepada rancangan televisyen yang ditayangkan di National Geographic TV, Doomsday Preppers. Walaupun dalam sesetengah episod, persediaan yang dilakukan oleh preppers seakan-akan tidak masuk akal dan seakan-akan cuba untuk melawan takdir tuhan. Namun begitu, terdapat episod yang memaparkan persediaan logik untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku tragedi rusuhan dan ancaman kepada keluarga.

Tiada siapa yang mahu perkara ini terjadi secara 'live' di kediaman sendiri
Persediaan yang dimaksudkan adalah menyediakan parameter ikthiar hidup meliputi stok simpanan makanan dan sumber air dalam tempoh 6 hingga 12 bulan atau lebih, termasuk parameter defensif di kawasan rumah bagi menghalang atau menewaskan musuh yang menyerang kediaman ataupun strategi meninggalkan rumah ke kawasan selamat jika kekecohan terjadi.

Salah seorang Preppers yang menyimpan bekalan makanan.

Mengajari anggota keluarga menggunakan senjata

Membina kubu bawah tanah
Preppers juga mendidik ahli keluarga termasuk anak-anak kecil menggunakan senjata dan taktik-taktik tertentu untuk mempertahankan kediaman mereka. Mereka turut mendapatkan khidmat pakar peperangan dan taktikal dalam merancang dan menyediakan parameter mereka. Seni beladiri pula menjadi semakin popular berikutan ianya boleh digunakan secara efektif. Mereka tidak lagi mengejar pingat dalam kejohanan bahkan menjadikan seni beladiri berperanan seperti yang sepatutnya - ilmu perang. Di sini saya turut menegaskan bahawa mereka yang mempunyai ilmu mempertahankan diri akan lebih berpotensi melansungkan hidup daripada mereka yang tidak memperdulikannya.

Firman Allah S.W.T:
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya. 
(Al Quran surah al-Anfal: 60)


Rasulullah S.A.W. bersabda,

“Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah”

(Dipetik dari riwayat sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim)



Bila kekecohan tercetus, sumber makanan akan terputus.

Saya percaya bahawa dunia akan menjadi semakin tidak stabil lebih-lebih lagi apa yang berlaku pada hari ini. Berikhtiar untuk terus hidup dan berjuang demi keselamatan keluarga jika ditindas adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Bahkan ganjaran syahid menanti kepada mereka-mereka yang mati mempertahankannya.

Seperti yang diterangkan di dalam 40 Hadis Akhir Zaman, fenomena matahari yang terbit dari barat merupakan tanda besar kiamat dan amalan manusia tidak akan diterima lagi setelah itu. Saya berpendapat bahawa manusia tidak akan menyedari amaran yang berusia lebih 1400 tahun ini kerana kebanyakan daripada kita tidak bangun untuk menunaikan solat subuh dan terlalu leka dengan urusan dunia. Mana mungkin kita akan melihat fenomena yang dijanjikan itu. Kita mungkin hanya akan menyedarinya apabila matahari telah berlabuh ke timur..

Saya juga percaya bahawa manusialah yang mencetuskan permulaan kiamat yang ditakdirkan. Mungkin sahaja perang nuklear bakal berlaku dan inilah yang mungkin digambarkan di dalam hadis - manusia akan dihalau oleh 'api besar' ke padang mahsyar (termpat berkumpul - dunia) dan menunggu ajal di sana. Kerosakan di dunia sememangnya angkara tangan-tangan manusia dan inilah yang mempercepatkan peristiwa kiamat itu sendiri.

Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada anda semua untuk memulakan persediaan yang rapi bagi diri sendiri dan keluarga, bukan sahaja untuk menghadapi kekecohan menjelang dan semasa hari kiamat secara fizikal, bahkan untuk meningkatkan amalan kerohanian kita kepada Allah supaya kita tidak terlewat, menyesal dan tertewas selama-lamanya. Wallahu'alam.

All Image Credit: Google

Tuesday 9 April 2013

Bulldoze Penceroboh Dari Rumah Anda!


 
Kita telah melihat atau mendengar pelbagai jenis jenayah yang menakutkan selalu melibatkan kerugian kepada harta benda ataupun nyawa. Media massa sering melaporkan pelbagai cara jenayah dilakukan akhir-akhir ini oleh orang-orang yang 'terdesak' untuk menyegerakan hajat mereka sama ada dari segi wang ringgit, harta benda atau pun nafsu. Ada juga makhluk-makhluk yang membuat jenayah atas dasar keseronokan dan menunjuk kebolehan masing-masing - Mencuri, menculik, merogol, dan membunuh.




Sekiranya rumah anda telah dicerobohi ketika anda berada di dalamnya, peluang untuk anda bertindak balas secara efektif untuk melindungi diri dan keluarga mungkin kecil. Walau bagaimanapun, sekiranya anda bersedia memanafaatkan setiap saat dalam situasi-situasi tersebut, peluang anda melepaskan diri untuk terus hidup adalah lebih baik.

Jadi nak buat macam mana??

Jika anda mempunyai senjata seperti pistol, itulah jawapan yang paling tepat kepada penceroboh rumah anda. Namun, jika anda tidak memiliki senjata ini, anda boleh membuat penambahbaikan kepada peralatan dan perkakas rumah menjadi senjata. Mungkin pada ketika ini anda terfikir dalam 5 peralatan yang boleh dijadikan senjata sekiranya diperlukan. Apabila anda selesai membaca artikel ini, senarai senjata milik anda akan melonjak kepada lebih 40 jenis!

Artikel ini disediakan untuk membantu anda membuat persediaan dan taktik sekiranya rumah anda diceroboh.



1. Melepaskan diri dari rumah sekiranya boleh

Sekiranya anda bersendirian, langkah seribu adalah langkah yang paling bijak sekiranya anda berpeluang untuk mengelak dari berhadapan penceroboh yang kemungkinan besar bersenjata dan ganas. Jika ada laluan melepaskan diri, jangan fikir panjang. Nyawa anda lebih berharga dari segala barangan di dalam rumah. JANGAN PANIK. Panik hanya akan melambatkan anda dan tidak membantu lansung! Lari ke rumah jiran dan maklumkan kepada mereka kejadian itu dan terus hubungi polis. Mungkin anda mempunyai telefon bimbit di dalam poket. Lebih cepat panggilan itu dapat dibuat. Sudah semestinya anda tidak akan melarikan diri sekiranya ada ahli keluarga bersama di dalam rumah untuk anda lindungi. Tetapi jika anda seorang diri, melarikan diri adalah taktik terus hidup yang terbaik. Anda bukanlah menjadi pengecut tetapi menjadi seorang yang bijak.

2. Bertahan di dalam bilik tidur


Jika sekiranya pada ketika itu anda di dalam bilik tidur semasa penceroboh masuk, anda perlu berfikir dengan pantas. Di dalam bilik sepatutnya terdapat beberapa objek yang anda boleh gunakan untuk mempertahankan diri seperti tiang lampu tidur, pasu, pemegang lilin, mangkuk besar ataupun buku berkulit keras. Tiang lampu sesuai dibuat seperti tombak dan jika ada kerusi, ia boleh dijadikan perisai untuk menolak penjenayah itu. Pastikan anda memegang kerusi itu dalam keadaan kakinya mengadap penyerang dalam bentuk berlian daripada bentuk segi empat. Jika anda boleh mencapai lehernya, apa-apa wayar seperti kabel laptop boleh digunakan untuk menundukkan penyerang dengan efektif.

3. Berada di dapur sebagai bonus


Tiada sesiapapun yang menginginkan kejadian sebegini berlaku kepada mereka tetapi benda buruk tetap akan berlaku. Berada di dapur merupakan taruhan yang terbaik. Pilihan pertama anda boleh jadi dua pisau tajam dan menghayunkannya ke arah penyerang. Pilihan lain adalah kuali atau pan, gunting atau gelas pecah atau apa-apa yang boleh mencederakan sekiranya dibaling. Garfu dan pisau steak sangat ideal untuk digunakan. Hujani penceroboh dengan serangan yang sangat kuat dalam masa yang singkat dan cari jalan untuk lari setelah itu. Spray nyamuk juga boleh digunakan untuk disembur ke mata penceroboh dan ianya pasti akan memusnahkan harinya!

4. Pergelutan di tandas

Tandas adalah tempat yang sangat buruk untuk berada ketika diceroboh lebih-lebih lagi jika fizikal penceroboh itu lebih besar daripada anda dan terjadi pergelutan di tempat yang sempit itu. Walau apapun, itu tidak akan melemahkan semangat anda untuk melawan. Anda boleh menggunakan besi penyidai tuala atau spray rambut kepada penceroboh  semasa anda cuba untuk melepaskan diri. Mangkuk tandas seramik boleh mendatangkan kecederaan yang agak serius jika anda mempunyai ruang untuk bergerak. Jadikan dinding sebagai sahabat anda! Hempas mukanya ke sana!

5. Senjata-senjata lain.

Berus gigi boleh digunakan sebagai senjata tikaman untuk mencucuk mata atau tekak atau rusuk. Peralatan pertanian yang disimpan di dalam stor seperti cangkul dan sabit dapat menakutkan penceroboh dengan libasan-libasan yang dilakukan. Sekiranya dikejar, jatuhkan semua objek di sepanjang laluan dan iringi dengan membaling objek-objek keras ke arah penceroboh.

6. Sasaran.

Dalam kegilaan serangan yang berlaku, anda mesti mahu memukul tempat yang terbuka. Jika terdapat pilihan, serang mata, tekak dan kemaluan. Serangan ini boleh menghentikan atau melambatkan penyerang. Serangan yang tersasar cuma akan menyebabkan penceroboh bertambah marah dan menjadi lebih 'gila' atas tindakan anda. Jadi latihlah tangan anda sekerap mungkin. Jika kawasan serangan di atas terlindung dengan baik, ambil apa-apa yang boleh ditikam ke rusuk dengan mengarahkan bucunya ke atas. Ini membolehkan anda mencapai limpa, hati atau buah pinggang.

Saya pernah terdengar bahawa menasihati orang untuk menyebabkan kecederaan yang serius adalah satu kesalahan. Betulke?? Saya tak minta diserang oleh orang celaka itu dan saya berhak menyeksa dia?? Jika perkara ini berlaku kepada saya, saya akan melakukan apa-apa yang perlu untuk menundukkan penyerang. GUNAKAN APA-APA SAHAJA! Saya tak perlu minta maaf atau tanya dengan sopan adakah 'mangkuk' itu sakit bila ditumbuk. Lumpuhkan penyerang anda secepat mungkin tanpa belas ihsan!

Lampu suluh boleh menyebabkan buta sementara kepada penyerang. Dapatkan lampu suluh yang terang dan tembak ke matanya secara tiba-tiba dalam kegelapan. Hentak punggung lampu suluh itu ke kepala atau mukanya dan lari keluar dari rumah. Teknik yang hampir sama dengan komando yang menggunakan flashbang untuk mengawal situasi tempur!



7. Perisai

Dalam situasai pencerobohan, anda bukanlah satu-satunya orang yang memegang senjata. Penceroboh biasanya akan membawa senjata tajam yang boleh membunuh ataupun mengugut anda menyerahkan barangan berharga. Anda perlu mempunyai pertahanan yang baik. Di antara objek yang boleh menangkis serangan sebelum anda mendapat peluang ofensif adalah penutup balang biskut, kayu pemotong sayur, beg galas, penutup periuk, briefcase, buku atau bangku. Gunakan apa sahaja yang anda boleh capai secepat mungkin.



8. Sekiranya Saya berada di luar rumah

Kadang-kadang penyerang akan memulakan langkahnya bila menghampiri anda dari pintu pagar. Apabila ini berlaku, anda tidak mempunyai kelengkapan rumah untuk digunakan tetapi anda boleh menggunakan apa-apa yang anda pakai. Anak kunci, pen dan pisau lipat boleh digunakan untuk menikam. Membawa spray pemedih ketika berjalan dari kereta ke pintu rumah juga adalah idea yang bagus. Payung juga sesuai untuk menghukum 'mangkuk-mangkuk' yang terlibat. Gunakan peralatan yang ada berdekatan dengan anda sebagai senjata dan ini boleh melambatkan mereka dan memberikan anda sedikit kelebihan untuk melepaskan diri.

9. Latihan dan sikap berwaspada yang berterusan

Serangan mungkin boleh berlaku kepada anda di mana-mana sahaja dan risikonya boleh dikurangkan sekiranya anda bersedia. Lebih baik anda bersedia, lebih baik pula kesannya. Jadi fikirkan tentang objek dan perkakas di rumah yang boleh digunakan sebagai 'sekutu' anda. Latih cara menggenggam dan menggunakannya dengan cepat. Latih juga taktik menyorok dan menyerang atau berguling ke bawah meja. Pastikan anda tahu mana laluan kecemasan anda di setiap ruang di rumah. Selalu berwaspada kepada persekitaran dan orang-orang yang tidak dikenali. Ingat! Anda tidak perlu menjadi mangsa kerakusan penjenayah. Dengan membuat persediaan yang terbaik sekiranya insiden ini terjadi adalah jawapannya.

10. Mulakan usaha mempertahankan diri dari sekarang

Anda boleh mendapatkan lebih manfaat dari seni mempertahankan diri. Terdapat banyak seni beladiri yang menawarkan kemahiran yang tertentu secara efektif. Dapatkan penjelasan yang lebih lanjut bagaimana cara untuk berdepan penyerang daripada guru-guru yang bertauliah dan saya mengesyorkan anda supaya jangan berlengah lagi. Carilah kelas seni beladiri dan mulakan dari sekarang agar anda tidak menyesal kemudian. Dengan tindakan pantas dan efektif, anda mungkin dapat menyelamatkan nyawa diri dan keluarga. Latih suami, isteri dan anak-anak anda juga!

All Image Credit: Google Images


Monday 8 April 2013

Karatedo EXPOSED & Bulldozed! Part 02

Kisah Perkembangan KarateDo Dari Okinawa Ke Jepun Oleh Bapa Karate Moden - Gichin Funakoshi

All Image Credit: Google Images

Kata Kegemaran Funakoshi - Kankudai/ Melihat Ke Langit

Okeh, kita menyambung artikel bahagian pertama dengan menghidangkan kisah yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua. Tokoh yang kita perlu kenal sekiranya bergiat dalam seni beladiri Karate adalah mendiang Gichin Funakoshi. Jika anda meminati Full Contact Karate (Kyokushinkai) yang diasaskan oleh Mas Oyama, Funakoshi adalah di antara guru-guru yang mengasuhnya.

Jika ada orang yang boleh kita iktiraf sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenal dan mempopularkan Karatedo, memang tiada orang yang wajar diberi perhatian khas melainkan tokoh ini. Funakoshi diakui ramai bertanggungjawab ke atas pengenalan seni Karate ke Jepun dari Okinawa. Beliau dilahirkan pada tahun 1868 di wilayah Shuri, Okinawa. Dari segi fizikal, sewaktu kanak-kanak, tubuh beliau kecil dan berkeadaan lemah. Selalu sakit dan boleh terkena penyakit dengan mudah! Boleh dikatakan ramai pengasas Karate pelbagai aliran mengalami masalah yang sama sewaktu kecil tetapi latihan karate telah mengubah segala-galanya.

Latihan Karate Bermula


Funakoshi Melakukan Kokutsu Dachi Shuto Uke


Mula mendapat pendidikan tumbukan Gyakuzuki atau reverse punch atas didikan dua bersaudara yang bernama Yasutsune Azato (Panglima Tentera Negara Ryukyu) & Yasutsune Itosu. Funakoshi adalah satu-satunya pelajar yang diterima Jeneral Azato untuk diajar teknik Shuri-Te beserta ilmu Kaligrafi dan puisi-puisi China. "Funakoshi memerlukan lebih dari dua guru untuk memantapkan ilmu Shuri-Te", mungkin ini yang difikirkan oleh Itosu lantas meminta gurunya Sokon Matsumura yang juga pengasas Shuri-Te melanjutkan pelajaran Funakoshi ke tahap 'advance'!


Funakoshi Sewaktu Zaman Belianya

Zaman remaja, ketika berumur 21 tahun (1888), semua latihan fizikal dibuat pada setiap malam setelah menyiapkan kerja rumah dan pelajarannya di waktu siang. Bukanlah menjadi suatu perkara yang aneh baginya untuk menemui waktu subuh setiap kali menamatkan sesi latihan Karate. Ini adalah kerana seni beladiri adalah haram untuk dipraktik pada waktu itu dan beliau terpaksa menyorok dan berlatih bersama Azato di waktu malam. Hanya pada ketika umur beliau mencecah 33 tahun, barulah beliau mula mengajar Karate kepada orang lain.

Kerjaya


Beliau membuat latihan fizikal pada setiap malam setelah menyiapkan kerja rumah dan pelajarannya di waktu siang. Bukanlah menjadi suatu perkara yang aneh baginya untuk menemui waktu subuh setiap kali menamatkan latihan Karate.

Funakoshi membesar bersama kesenian kegemarannya iaitu Seni Kaligrafi. Beliau turut menjadi seorang pendidik yang terlibat secara aktif dalam mengajar anak-anak muda dalam kampungnya pelbagai pelajaran bersama Karate.

Funakoshi memang seorang yang pakar kerana beliau juga telah mengajar seni ini kepada Raja Okinawa (Negara Ryukyu) yang memerintah ketika itu dan telah menjadi Pengerusi Persatuan Seni Mempertahankan Diri Okinawa sebelum berhijrah ke Tokyo.


Berhijrah Ke Tokyo Memulakan Destini


Jodan Gyakuzuki
Kementerian Pendidikan Jepun Ochanomizu telah mengundang beliau ke Tokyo dalam tahun 1922 untuk membuat demonstrasi Karate kepada pelajar-pelajar universiti. Hasilnya cukup memberansangkan dan ini menjadi titik-tolak kepada rakan-rakan Karate dari Okinawa untuk mengikut jejak langkah beliau datang ke Jepun menyebarkan ilmu ini termasuk Kenwa Mabuni (Shitoryu) & Chojun Miyagi (Gojuryu). Kementerian tersebut telah menetapkan bahawa Karate menjadi aktiviti fizikal dalam universiti. Beliau juga bertanggung jawab dalam mengubah beberapa terminologi Karate yang digunakan dalam bahasa asal Okinawa ke bahasa Jepun demi memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Contohnya nama kata Pinan ditukar menjadi Heian. Kata Wanshu menjadi kata Empi dan banyak lagi.

Dalam demonstrasi tersebut, ramai pihak telah menyatakan minat dan mengundang Funakoshi sama ada mengadakan lebih banyak demonstrasi dan membuka kelas di tempat mereka termasuk di Jabatan Polis Jepun.  Beliau sangat gembira dengan sambutan yang diberikan lantas mengambil keputusan untuk kekal tinggal di Jepun sehingga akhir hayatnya.

Ramai Budoka (penggiat seni tempur tradisional Jepun) meminta pengajaran dari Funakoshi termasuk Pengasas Seni Judo yang terkenal Jigoro Kano. Jigoro telah meminta Funakoshi mengajarkan beberapa Kata (bentuk gerakan) dalam tempoh beberapa bulan kerana tertarik kepada 'kekuatan dalam kelembutan' Karate.

Para pelajar Funakoshi rata-rata adalah dari kalangan pelajar universiti dan beliau telah mendapat gelaran "Bapa Karate Moden" oleh media-media Jepun atas kejayaannya memperkenalkan Karate kepada rakyat apabila usianya mencecah 50-an. Ini bermakna, beliau telah terlibat dalam seni Karate lebih dari 45 tahun di Okinawa dan barulah beliau memperkenalkannya kepada umum di Jepun. Beliau membuka sebuah dewan latihan dalam Universiti Keio bagi pelajar-pelajar yang ingin mendapat 'sentuhan' beliau.

Teknik Gedan Barai
Gempa bumi skala besar pada tahun 1923 yang menggegarkan Tokyo memaksa Funakoshi membuat pelbagai aktiviti memungut dana bagi membuka pusat latihan yang baru bagi menggantikan dojo yang musnah. Terdapat beberapa pelajar Karate yang terkorban ataupun hilang dalam kejadian tersebut. Pembinaan bangunan dojo hanya bermula selepas tahun 1935 kerana kepayahan mengumpul dana yang diperlukan. Setelah siap, Funakoshi menamakan aliran Karate yang diajarinya sebagai sempena nama pena beliau Shoto-kan. Langkah pertama Funakoshi masuk ke dojo baru tersebut dibuat ketika umur beliau sudah mencecah 70 tahun!

Funakoshi masih aktif menjalankan demonstrasi dan mengadakan latihan di pelbagai universiti selepas itu termasuk dijemput oleh Maharaja Hirohito untuk membuat pertunjukan Karate wajib setiap tahun di istananya.

1945 tahun dimana dojo Funakoshi musnah dibom Amerika dan sekutunya dalam perang dunia ke-2. Walau bagaimanapun, kemasyhuran Funakoshi semakin naik mendadak selepas rekrut-rekrut tentera Amerika pulang bersama ilmu Karate tangan kosong dari beliau ke USA. Setelah itu didapati ramai pelajar dari luar Jepun bertandang untuk mendapatkan pengajaran dari Funakoshi. Ketika beliau berumur pertengahan 80-an, beliau telah menghantar jurulatihnya ke seluruh pelusuk Jepun dan ke luar negara untuk menyebarkan Karate.

Pelajaran Dari Funakoshi

Maegeri - Tendangan Depan
Ramai pelajar mengingati Funakoshi sebagai individu yang berpewatakan lembut dan peramah. Beliau memperkenalkan Dojokun atau kod etika Karate buat pedoman pelajarnya. Beliau sangat menghindari pergaduhan ataupun terjebak ke dalamnya walaupun beliau adalah seorang yang kuat sekalipun berumur 50-60 tahun ketika sering diuji oleh pelajar-pelajarnya sendiri yang berlatih bermati-matian untuk 'menembusi beliau'. Ini adalah kerana ungkapan guru beliau sendiri iaitu Sokon Matsumura yang berkata:


"When two tigers fight, one is bound to be hurt. The other will be dead."

Sokon Matsumura (Pengasas Shuri-Te Okinawa)

Jadi, sekiranya dua orang berlawan, kedua-duanya bakal menerima kecederaan atau kematian di satu pihak yang lain. Kepentingan menguatkan bahagian badan terutamanya tangan dan kaki seperti besi diterapkan dalam latihan kepada pelajar seperti menumbuk Makiwara, batang pokok dan sebagainya sebagai persiapan sebelum dicederakan musuh.

Kata Intipati Shotokan - Kata Tekki/ Kuda Besi

Karateka (pengamal karate) diajar seni Kata. Ada karateka membuat Kata yang sama selama beberapa tahun sebelum mempelajari Kata yang baru (terutama Kata Heian & Tekki). Karateka wajib mahir dalam rahsia gerakan kata sebelum belajar atemi waza (sejenis ilmu pukulan ke zon penting badan) yang sangat berguna dalam pertarungan jalanan.

Nota:
Malangnya, rahsia ini semakin terkikis dan mungkin terkubur terus akibat dari kecenderungan ramai pihak melupakan kepentingan Kata dan hanya fokus pada Sukan berpingat, Kumite. Wujud juga jurulatih Karate yang tidak mengenali Kata dan Bunkai (aplikasi)nya lansung. Ada juga yang tahu sebahagian tetapi tidak mahu belajar lebih dalam mahupun mengajarkannya kepada orang lain.

Jika ada pun Karateka yang fokus pada Kata, ianya juga untuk mendapatkan pingat dalam pertandingan! Bergerak seperti robot yang diprogramkan tetapi gagal bertindak sewaktu yang diperlukan dalam aplikasi yang berbeza situasi. Saya sedih mengenangkan situasi ini berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Karate diajar sebagai sukan dan bukan lagi sebagai ilmu beladiri yang bertenaga! Kembalilah kepada Karate yang sebenar. Seni Beladiri dan bukan Sukan. Funakoshi sangat mempercayai bahawa Kata adalah nyawa & rahsia Karate.

Funakoshi meninggal dunia sebagai lagenda ketika berumur 88 tahun pada 1957. Beliau meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia Karate beserta legasi kepada Karateka kini untuk diteruskan. Banyak aliran Karate yang muncul dari Aliran Shotokan selepas itu.
"Once you have completely mastered kata, then you can adapt it to kumite." 

Gichin Funakoshi