Monday 8 April 2013

Karatedo EXPOSED & Bulldozed! Part 02

Kisah Perkembangan KarateDo Dari Okinawa Ke Jepun Oleh Bapa Karate Moden - Gichin Funakoshi

All Image Credit: Google Images

Kata Kegemaran Funakoshi - Kankudai/ Melihat Ke Langit

Okeh, kita menyambung artikel bahagian pertama dengan menghidangkan kisah yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua. Tokoh yang kita perlu kenal sekiranya bergiat dalam seni beladiri Karate adalah mendiang Gichin Funakoshi. Jika anda meminati Full Contact Karate (Kyokushinkai) yang diasaskan oleh Mas Oyama, Funakoshi adalah di antara guru-guru yang mengasuhnya.

Jika ada orang yang boleh kita iktiraf sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenal dan mempopularkan Karatedo, memang tiada orang yang wajar diberi perhatian khas melainkan tokoh ini. Funakoshi diakui ramai bertanggungjawab ke atas pengenalan seni Karate ke Jepun dari Okinawa. Beliau dilahirkan pada tahun 1868 di wilayah Shuri, Okinawa. Dari segi fizikal, sewaktu kanak-kanak, tubuh beliau kecil dan berkeadaan lemah. Selalu sakit dan boleh terkena penyakit dengan mudah! Boleh dikatakan ramai pengasas Karate pelbagai aliran mengalami masalah yang sama sewaktu kecil tetapi latihan karate telah mengubah segala-galanya.

Latihan Karate Bermula


Funakoshi Melakukan Kokutsu Dachi Shuto Uke


Mula mendapat pendidikan tumbukan Gyakuzuki atau reverse punch atas didikan dua bersaudara yang bernama Yasutsune Azato (Panglima Tentera Negara Ryukyu) & Yasutsune Itosu. Funakoshi adalah satu-satunya pelajar yang diterima Jeneral Azato untuk diajar teknik Shuri-Te beserta ilmu Kaligrafi dan puisi-puisi China. "Funakoshi memerlukan lebih dari dua guru untuk memantapkan ilmu Shuri-Te", mungkin ini yang difikirkan oleh Itosu lantas meminta gurunya Sokon Matsumura yang juga pengasas Shuri-Te melanjutkan pelajaran Funakoshi ke tahap 'advance'!


Funakoshi Sewaktu Zaman Belianya

Zaman remaja, ketika berumur 21 tahun (1888), semua latihan fizikal dibuat pada setiap malam setelah menyiapkan kerja rumah dan pelajarannya di waktu siang. Bukanlah menjadi suatu perkara yang aneh baginya untuk menemui waktu subuh setiap kali menamatkan sesi latihan Karate. Ini adalah kerana seni beladiri adalah haram untuk dipraktik pada waktu itu dan beliau terpaksa menyorok dan berlatih bersama Azato di waktu malam. Hanya pada ketika umur beliau mencecah 33 tahun, barulah beliau mula mengajar Karate kepada orang lain.

Kerjaya


Beliau membuat latihan fizikal pada setiap malam setelah menyiapkan kerja rumah dan pelajarannya di waktu siang. Bukanlah menjadi suatu perkara yang aneh baginya untuk menemui waktu subuh setiap kali menamatkan latihan Karate.

Funakoshi membesar bersama kesenian kegemarannya iaitu Seni Kaligrafi. Beliau turut menjadi seorang pendidik yang terlibat secara aktif dalam mengajar anak-anak muda dalam kampungnya pelbagai pelajaran bersama Karate.

Funakoshi memang seorang yang pakar kerana beliau juga telah mengajar seni ini kepada Raja Okinawa (Negara Ryukyu) yang memerintah ketika itu dan telah menjadi Pengerusi Persatuan Seni Mempertahankan Diri Okinawa sebelum berhijrah ke Tokyo.


Berhijrah Ke Tokyo Memulakan Destini


Jodan Gyakuzuki
Kementerian Pendidikan Jepun Ochanomizu telah mengundang beliau ke Tokyo dalam tahun 1922 untuk membuat demonstrasi Karate kepada pelajar-pelajar universiti. Hasilnya cukup memberansangkan dan ini menjadi titik-tolak kepada rakan-rakan Karate dari Okinawa untuk mengikut jejak langkah beliau datang ke Jepun menyebarkan ilmu ini termasuk Kenwa Mabuni (Shitoryu) & Chojun Miyagi (Gojuryu). Kementerian tersebut telah menetapkan bahawa Karate menjadi aktiviti fizikal dalam universiti. Beliau juga bertanggung jawab dalam mengubah beberapa terminologi Karate yang digunakan dalam bahasa asal Okinawa ke bahasa Jepun demi memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Contohnya nama kata Pinan ditukar menjadi Heian. Kata Wanshu menjadi kata Empi dan banyak lagi.

Dalam demonstrasi tersebut, ramai pihak telah menyatakan minat dan mengundang Funakoshi sama ada mengadakan lebih banyak demonstrasi dan membuka kelas di tempat mereka termasuk di Jabatan Polis Jepun.  Beliau sangat gembira dengan sambutan yang diberikan lantas mengambil keputusan untuk kekal tinggal di Jepun sehingga akhir hayatnya.

Ramai Budoka (penggiat seni tempur tradisional Jepun) meminta pengajaran dari Funakoshi termasuk Pengasas Seni Judo yang terkenal Jigoro Kano. Jigoro telah meminta Funakoshi mengajarkan beberapa Kata (bentuk gerakan) dalam tempoh beberapa bulan kerana tertarik kepada 'kekuatan dalam kelembutan' Karate.

Para pelajar Funakoshi rata-rata adalah dari kalangan pelajar universiti dan beliau telah mendapat gelaran "Bapa Karate Moden" oleh media-media Jepun atas kejayaannya memperkenalkan Karate kepada rakyat apabila usianya mencecah 50-an. Ini bermakna, beliau telah terlibat dalam seni Karate lebih dari 45 tahun di Okinawa dan barulah beliau memperkenalkannya kepada umum di Jepun. Beliau membuka sebuah dewan latihan dalam Universiti Keio bagi pelajar-pelajar yang ingin mendapat 'sentuhan' beliau.

Teknik Gedan Barai
Gempa bumi skala besar pada tahun 1923 yang menggegarkan Tokyo memaksa Funakoshi membuat pelbagai aktiviti memungut dana bagi membuka pusat latihan yang baru bagi menggantikan dojo yang musnah. Terdapat beberapa pelajar Karate yang terkorban ataupun hilang dalam kejadian tersebut. Pembinaan bangunan dojo hanya bermula selepas tahun 1935 kerana kepayahan mengumpul dana yang diperlukan. Setelah siap, Funakoshi menamakan aliran Karate yang diajarinya sebagai sempena nama pena beliau Shoto-kan. Langkah pertama Funakoshi masuk ke dojo baru tersebut dibuat ketika umur beliau sudah mencecah 70 tahun!

Funakoshi masih aktif menjalankan demonstrasi dan mengadakan latihan di pelbagai universiti selepas itu termasuk dijemput oleh Maharaja Hirohito untuk membuat pertunjukan Karate wajib setiap tahun di istananya.

1945 tahun dimana dojo Funakoshi musnah dibom Amerika dan sekutunya dalam perang dunia ke-2. Walau bagaimanapun, kemasyhuran Funakoshi semakin naik mendadak selepas rekrut-rekrut tentera Amerika pulang bersama ilmu Karate tangan kosong dari beliau ke USA. Setelah itu didapati ramai pelajar dari luar Jepun bertandang untuk mendapatkan pengajaran dari Funakoshi. Ketika beliau berumur pertengahan 80-an, beliau telah menghantar jurulatihnya ke seluruh pelusuk Jepun dan ke luar negara untuk menyebarkan Karate.

Pelajaran Dari Funakoshi

Maegeri - Tendangan Depan
Ramai pelajar mengingati Funakoshi sebagai individu yang berpewatakan lembut dan peramah. Beliau memperkenalkan Dojokun atau kod etika Karate buat pedoman pelajarnya. Beliau sangat menghindari pergaduhan ataupun terjebak ke dalamnya walaupun beliau adalah seorang yang kuat sekalipun berumur 50-60 tahun ketika sering diuji oleh pelajar-pelajarnya sendiri yang berlatih bermati-matian untuk 'menembusi beliau'. Ini adalah kerana ungkapan guru beliau sendiri iaitu Sokon Matsumura yang berkata:


"When two tigers fight, one is bound to be hurt. The other will be dead."

Sokon Matsumura (Pengasas Shuri-Te Okinawa)

Jadi, sekiranya dua orang berlawan, kedua-duanya bakal menerima kecederaan atau kematian di satu pihak yang lain. Kepentingan menguatkan bahagian badan terutamanya tangan dan kaki seperti besi diterapkan dalam latihan kepada pelajar seperti menumbuk Makiwara, batang pokok dan sebagainya sebagai persiapan sebelum dicederakan musuh.

Kata Intipati Shotokan - Kata Tekki/ Kuda Besi

Karateka (pengamal karate) diajar seni Kata. Ada karateka membuat Kata yang sama selama beberapa tahun sebelum mempelajari Kata yang baru (terutama Kata Heian & Tekki). Karateka wajib mahir dalam rahsia gerakan kata sebelum belajar atemi waza (sejenis ilmu pukulan ke zon penting badan) yang sangat berguna dalam pertarungan jalanan.

Nota:
Malangnya, rahsia ini semakin terkikis dan mungkin terkubur terus akibat dari kecenderungan ramai pihak melupakan kepentingan Kata dan hanya fokus pada Sukan berpingat, Kumite. Wujud juga jurulatih Karate yang tidak mengenali Kata dan Bunkai (aplikasi)nya lansung. Ada juga yang tahu sebahagian tetapi tidak mahu belajar lebih dalam mahupun mengajarkannya kepada orang lain.

Jika ada pun Karateka yang fokus pada Kata, ianya juga untuk mendapatkan pingat dalam pertandingan! Bergerak seperti robot yang diprogramkan tetapi gagal bertindak sewaktu yang diperlukan dalam aplikasi yang berbeza situasi. Saya sedih mengenangkan situasi ini berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Karate diajar sebagai sukan dan bukan lagi sebagai ilmu beladiri yang bertenaga! Kembalilah kepada Karate yang sebenar. Seni Beladiri dan bukan Sukan. Funakoshi sangat mempercayai bahawa Kata adalah nyawa & rahsia Karate.

Funakoshi meninggal dunia sebagai lagenda ketika berumur 88 tahun pada 1957. Beliau meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia Karate beserta legasi kepada Karateka kini untuk diteruskan. Banyak aliran Karate yang muncul dari Aliran Shotokan selepas itu.
"Once you have completely mastered kata, then you can adapt it to kumite." 

Gichin Funakoshi

2 comments:

  1. Tak pernah jumpa blog martial yang lain versi bahasa melayu...Taekwondo pon tak ada jugak...huuhuhuh~

    ReplyDelete
  2. Harap terus memberi sokongan pada Bulldoze. Tentang blog martial art lain, Insya'Allah tak lama lagi ada la tu..

    ReplyDelete